Friday, February 26, 2021

Baling Belakang 25.02

 Semalam 25.02.2021.

Genap 15 tahun anniversary perkahwinan kakak aku. Beliau kahwin masa aku tahun pertama universiti di Perak. Aku ingat lagi balik Ampang naik bas lepas kelas hari Jumaat sebab beliau punya majlis hari Sabtu. Sampai je Ampang dah maghrib, aku naik bilik mandi, tukar baju kurung dan join beliau punya majlis khatam Qur'an. 

Masa inilah aku pertama kali merasa ada orang asing masuk dalam keluarga. Masa ini jugalah aku start kena pakai tudung di rumah. Aku juga masih ingat betapa seronoknya aku bila kakak aku kata dia kahwin dengan anak tok imam. Seronok membayangkan kakak aku bakal kena tarbiyah dengan laki dia. It's payback time!! Kahkah. Dulu hobi beliau ialah buli aku. Beliau kata aku anak angkat, mak kutip sebab kesian. Dalam versi lain beliau mengatakan mak aku tersalah ambil aku dekat hospital. 

Apapun, beliau adalah kakak terbaik yang Allah s.w.t anugerahkan. Alhamdulillah. Semoga perkahwinan beliau membawa ke syurga. Semoga semua anak buah aku membesar dengan jayanya dan bagi duit belanja dekat makteh bila makteh dah tua nanti. Dan semoga beliau kurangkan membebel. Aku yang dah tua-tua ni pun kadang-kadang kena dengar ceramah dia. 

Untuk abang ipar aku, aku ucapkan bertabahlah. Kahkah.

Semalam juga adalah birthday kawan baik aku. Seorang kawan yang telah baik semenjak di tingkatan 5 Sekolah Menengah Teknik di ibu kota. Tak pernah aku terbayangkan kami ini akan bersahabat baik. Masa sekolah menengah aku sangat suka subjek Lukisan Kejuruteraan. Jarang-jarang markah exam LK aku below 95%. Masa tingkatan 4 kami kelas lain-lain. Jadi aku ingat aku habis terer la LK. 

Bila masuk tingkatan 5 kami sekelas, aku sentiasa kalah dengan beliau. Jadinya diam-diam aku cemburu. Dia ni tempat duduk paling belakang paling hujung, kaki tidur. Pelik aku macam mana boleh terer. Makan apa dia ni. Aku pula adalah Ahli Jawatankuasa LK kelas, which by right aku adalah right-hand man cikgu LK. Tapi malangnya nama beliau je yang meniti di bibir cikgu tersebut. Beliau ni budak baik la, beliau ni rajin la, beliau ni pandai la. Eh hangin pulak aku.

Yang uniknya beliau ni, setiap pagi awal subuh tu beliau akan ke kelas untuk letak beg, kemudian balik dorm untuk solat subuh, kemudian sementara tunggu perhimpunan pagi, beliau akan tidur dalam kelas. Itu rutin beliau yang aku paling ingat. Dasar kaki tidur. Beliau punya suka tidur tu sampaikan dalam exam pun tidur. Exam LK berdurasi 2 jam 30 minit. 2 jam pertama beliau tidur, jawab exam 30 minit je tapi scorer LK. Haa ini yang buat aku lebih hangin.

Tapi aturan tuhan, kami jadi sahabat, dari teman sekelas sehinggalah sekarang usia persahabatan kami mencecah 17 tahun. Selepas SPM kami terpisah jauh. Beliau sambung belajar ke Matrikulasi Negeri Sembilan dan kemudian ke UTM Skudai manakala aku terus ke program diploma UiTM Perak. Kami menuntut dalam jurusan yang sama. Cuma beliau pergi lebih jauh.

Dalam tempoh tu kami jarang bertemu sehinggalah sekarang. Awal Februari haritu aku ada bertemu beliau untuk urusan kerja di Bidor, Perak. Beliau kelihatan sedikit gloomy memandangkan ibu beliau baru sahaja dijemput Illahi 2 hari sebelum (Innalillahi wainna ilaihirojiun. Semoga ibundanya ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman dan beroleh syurgaNya. Aminn) Dalam pertemuan itu, aku tenung matanya dalam-dalam dan bertanya "Kau OK?" Beliau angguk. Sentiasa tenang.

Beliau ini sejenis sahabat yang walau berapa pun lamanya tak jumpa, bila bertemu tak pernah kekok. Seolah-olah kami ini tak pernah terpisah jauh. Isteri beliau juga bukanlah orang asing untuk aku. Seorang wanita yang sangat kuat dan ibu mithali kepada 2 orang cahaya mata mereka. Semoga ALLAH s.w.t berkati umur beliau, kurniakan kebahagiaan untuk beliau dan keluarga di dunia, dan kebahagiaan dan kejayaan di akhirat sana. Amin.

Yang menariknya, sahabat aku ini adalah satu-satunya sahabat yang hadir ke majlis perkahwinan kakak aku pada 25.02.2006 di hari lahir beliau yang ke-19 tahun. Sebab itu aku sentiasa ingat tarikh ni. 

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home